Golongan wanita terutama isteri disaran membuat laporan polis jika mengalami keganasan rumah tangga terutama rogol dalam perkahwinan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Hanipa Maidin berkata ini kerana hanya satu kes sahaja dilaporkan melibatkan keganasan rumah tangga di bawah peruntukan tersebut.

“Di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan (peruntukan) itu masih ada dan boleh digunakan. Tapi anda perlu buat laporan polis dan polis akan menjalankan siasatan.

“Disebabkan peruntukan itu masih ada, jika terdapat mangsa, laporan dibuat, jadi polis akan ambil tindakan dengan membuka kertas siasatan.

“Saya akan bercakap dengan Peguam Negara untuk ambil perhatian terhadap kes ini,” katanya ketika ditemui media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekecewaan yang dikemukakan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) apabila Kerajaan memutuskan untuk tidak mengadakan peruntukan khusus bagi kes rogol dalam perkahwinan.

Tambah Hanipa, kerajaan akan menilai dari semasa ke semasa dalam mewujudkan peruntukan khusus bagi kes tersebut.