Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 28 tahun dan 18 sebatan kepada seorang pekerja sambilan sebuah pusat rekreasi atas kesalahan merogol dan meliwat seorang remaja perempuan Disember tahun lalu.

Tertuduh Ahmad Faizal Razab, 35 tahun, dari FELDA Tersang, Raub, membuat pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan rogol dan pertuduhan liwat di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Faizal didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di pusat peranginan Lata Lembik Eco Park, Raub dari pukul 12.30 tengah malam hingga 1 pagi pada 8 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di lokasi sama, antara pukul 11.30 malam 9 Disember hingga jam 8 pagi 10 Disember lalu, ke atas mangsa tanpa kerelaannya.

Untuk kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun dan 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Di bawah pertuduhan ketiga pula, Ahmad Faizal didakwa melakukan persetubuhan di luar tabii iaitu dengan memasukkan kemaluannya ke dalam dubur mangsa tanpa kerelaan antara pukul 1 pagi dan 8 pagi 9 Disember lalu di sebuah resort di Lata Lembik Eco Park, Raub.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun serta tujuh sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 14 tahun serta tujuh sebatan bagi pertuduhan kedua selain dipenjara lapan tahun serta empat sebatan untuk pertuduhan ketiga.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman bagi pertuduhan pertama dan ketiga berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Salwa Asmary Abdul Rahim manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam.