Rogol, samun: Tukang cat kereta boleh dipenjara 30 tahun

Rogol, samun: Tukang cat kereta boleh dipenjara 30 tahun
Suspek didakwa merogol seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah rumah dalam daerah Melaka Tengah pada pukul 7 pagi pada 3 Mei lalu. - Gambar hiasan
MELAKA: Seorang tukang cat kereta berdepan hukuman penjara 30 tahun dan sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol dan menyamun seorang pelajar universiti pada Mei lalu.

Tertuduh, Mohamad Fadil Mohamed Amin, 26 tahun, mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, suspek didakwa merogol seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah rumah dalam daerah Melaka Tengah pada pukul 7 pagi pada 3 Mei lalu.

Pendakwaan tersebut dibuat mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Bagi pertuduhan kedua pula, suspek didakwa melakukan samun terhadap mangsa dengan mengambil barangan peribadi seperti komputer riba, dompet yang mengandungi kad pengenalan diri, kad ATM bank serta wang tunai berjumlah RM200 dan sejambak kunci rumah pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan di bawah mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada suspek kerana mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius.

"Pembebasan tertuduh juga dikhuatiri menggugat keselamatan mangsa memandangkan tertuduh mengetahui lokasi rumah mangsa," katanya.

Hakim menerima hujah tersebut dan pada penghakimannya tidak membenarkan sebarang jaminan dibenarkan ke atas tertuduh dan menetapkan 13 Ogos depan untuk serahan laporan perubatan.

Menurut fakta kes, pengadu mendapati suspek berada di hujung katil ketika baru bangun dari tidur sekitar jam 7 pagi pada 3 Mei.

Selepas menjerit, muka pengadu ditutup dengan selimut dan diugut oleh suspek.

Suspek kemudian bertindak untuk menanggalkan pakaian dan merogol pengadu sebelum bertindak meninggalkan rumah.

Setelah pengadu membuat pemeriksaan sekitar rumah, didapati ada kesan umpil di tingkap bahagian dapur rumah.

Selepas menghubungi tuan rumah, pengadu terus ke balai polis untuk melaporkan perkara tersebut.