Rohingya: ASEAN perlu teruskan tekanan, beri bantuan - Syed Hamid

Rohingya: ASEAN perlu teruskan tekanan, beri bantuan - Syed Hamid
SYED HAMID: Usaha dan kenyataan sahaja tidak mencukupi, sekarang kita kena bertindak bagaimana langkah seterusnya boleh diambil. Bagaimana pengaruh ASEAN boleh menamatkan isu tersebut.
KUALA LUMPUR: ASEAN perlu terus memberi tekanan kepada Myanmar bagi memastikan sekurang-kurangnya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada etnik Rohingya.

Bekas Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata walaupun telah banyak usaha dijalankan pelbagai pihak termasuk Malaysia bagi membantu etnik minoriti berkenaan namun masih banyak sekatan dilalui akibat dasar negara itu.

"Negara ASEAN terutamanya, jangan berhenti berusaha supaya sekurang-kurangnya Myanmar menghentikan aktiviti ketenteraan (terhadap etnik Rohingya) dan bantuan boleh dibawa masuk kepada etnik Rohingya," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Kemanusiaan 2017 bertajuk "Rohingya: Plight & Despair, Hope" di sini, hari ini.

Turut dilancarkan buku bertajuk 'Flotilla, Mengesat Air Mata Rohingya' pada majlis itu.
Syed Hamid berkata pelbagai usaha termasuk menghantar bantuan makanan, perubatan dan barang keperluan ke kawasan penduduk Islam Rohingya di Myanmar sehingga kini masih mendapat sekatan.

ASEAN katanya perlu menjadikan isu tersebut sebagai satu daripada agenda penting dalam mempengaruhi pihak membantu menyelesaikan isu itu.

"Usaha dan kenyataan sahaja tidak mencukupi, sekarang kita kena bertindak bagaimana langkah seterusnya boleh diambil. Bagaimana pengaruh ASEAN boleh menamatkan isu tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Syed Hamid memuji langkah kerajaan mengadakan program pekerjaan kepada 300 pelarian Rohingya di negara ini untuk bekerja di sektor perladangan.

Program yang bermula 1 Mac lalu katanya adalah antara langkah bagi membantu etnik Rohingya di negara ini mendapat pembelaan sewajarnya termasuk peluang pekerjaan.

"Saya fikir langkah ini bagus sekali. Malah mungkin boleh diperluaskan kepada lebih ramai etnik Rohingya di lebih banyak sektor yang memerlukan.

"Ia juga boleh mengurangkan kemasukan pekerja asing dari negara lain," katanya.

-- BERNAMA