Malaysia dikejutkan dengan penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dari kabinet hanya beberapa hari selepas beliau memberi kenyataan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memberikan jawapan kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini reaksi Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan hari ini selepas pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri.

Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor:

Mohamed Azmin berkata, pemecatan Abdul Ghani Patail selaku Peguam Negara, salah seorang anggota panel bertanggungjawab dalam penyiasatan 1MDB, memberikan gambaran Perdana Menteri bertindak untuk mempertahankan kedudukan dan regimnya dari disiasat oleh panel bebas atas pelbagai salahguna kuasa dan rasuah yang melibatkan berbilion ringgit.

Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Mohamed Aziz:

Rombakan kabinet yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai langkah terburu-buru terutama ketika pentadbirannya berdepan pelbagai isu termasuk 1MDB.

Beliau mendakwa rombakan itu pada masa sama berpunca daripada masalah yang dihadapi syarikat pelaburan strategik negara itu.

Katanya, Najib sepatutnya lebih bijak mencari jalan penyelesaian berbanding merombak kabinet yang dibimbangi memberi persepsi negatif kepada pentadbirannya.

"Najib kata itu (kabinet baharu) lebih memantapkan perjuangan. Jadi maknanya sebelum ini tak mantap perjuangan. Tak mantap perjuangan ini perdana menteri atau menterinya."

Mohamed menasihati agar kepimpinan Najib kembali fokus dan mengambil pertimbangan terhadap sebarang keputusan yang dibuat dan sentiasa menerima perbezaan pandangan.

Beliau pada masa sama berharap pentadbiran Najib sentiasa menerima dan meraikan kepelbagaian pandangan.

"Saya dulu juga pernah jadi exco. Kita ada perbezaan pandangan. Jadi sebarang perbezaan pandangan perlu dibincangkan demi kebaikan bersama."

Naib Presiden UMNO dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein:

Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta semua Ahli UMNO meletakkan kepentingan parti dan negara melebihi kepentingan emosi peribadi dengan keputusan yang dibuat Najib.

Pada masa sama, Hishammuddin turut berharap agar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik dan inklusif.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Adenan Satem:

Ternyata beliau gembira dengan keputusan Najib apabila Ahli Parliment Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

"Saya akan memberi komen selepas saya tahu keseluruhan fakta dan saya sangat gembira melihat Datuk Wan Junaidi sekarang adalah Menteri serta rakan baik saya Masir Kudat juga menjadi Timbalan Menteri. Sudah pastinya saya sangat gembira."

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron:

Beliau menyifatkan rombakan berkenaan adalah perkara biasa yang akan berlaku bagi tempoh tertentu untuk mengukuhkan pentadbiran negara.

Idris turut mengucapkan tahniah kepada Najib kerana mengambil peluang terbaik membina satu pasukan baharu untuk berhadapan cabaran lebih besar pada masa depan.

Beliau berkata demikian sempena persidangan kedua penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka ke-13 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.

Idris turut mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid kini bergelar TPM menggantikan Muhyiddin.

Katanya, pemilihan Ahmad Zahid amat tepat kerana pemimpin itu lahir daripada kumpulan akar umbi parti dan berpengalaman luas dalam dunia politik tempatan mahupun serantau.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob:

Beliau berkata setiap pelantikan tertakluk kepada pihak yang melantik di semua peringkat dalam pertadbiran negara mahupun pentadbiran di peringkat negeri.

Ujarnya, setiap yang dilantik adalah bertujuan memberi perkhidmatan terbaik kepada pihak yang melantiknya.

Beliau juga mengulas dengan memberi contoh jawatan Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) yang ditamatkan perkhidmatannya pada Isnin atas faktor kesihatan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman:

MB Terengganu tersebut menyifatkan rombakan kabinet yang dilakukan Perdana Menteri sudah mengambil kira pelbagai faktor demi kebaikan negara.

Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai hak untuk membuat lantikan baru bagi memantapkan barisan pentadbirannya sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Ahmad Razif berkata, beliau masih belum mendapat gambaran sebenar, namun, yakin perkara itu akan diperjelaskan Perdana Menteri pada perjumpaan UMNO bahagian seluruh negara Jumaat ini.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz:

Jelas beliau enggan mengulas lanjut mengenai rombakan Kabinet.

Mengulas lanjut dalam satu status Facebook, Rafidah menasihatkan kepada ahli Kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO supaya bertanggungjawab secara kolektif untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti.

"Selesaikan kemelut politik ini dengan kredibiliti dan kepercayaan secara berpasukan," kata Rafidah.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mohamad:

Beliau menyifatkan ini adalah langkah terbaik dalam mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Najib.

"Jika diberi ruang bercakap, saya hanya akan berkata Perdana Menteri buatah yang terbaik asalkan rakyat kembali menyokong kita. Kalau ada duri dalam daging ubatilah.

"Kalau parti kita sakit, sembuhkanlah tetapi yang sangat penting pastikan pasukan kita bersama, bersatu, InsyaAllah dengan kesatuan akan dapat selesaikan kemelut yang dihadapi sekarang.

FOTO: Rombakan Kabinet: Sidang media PM