Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, rombakan Kabinet tidak akan berlaku semasa pentadbirannya.

Malah jawatan Menteri Pendidikan yang disebut-sebut akan ditukar, tidak akan digantikan dengan individu lain.

Itu penegasan Perdana Menteri ketika ditemubual dalam segmen Breakfast Grille di saluran radio BFM pada pagi Selasa.

Berikut jawapan yang diberikan beliau dalam temubual itu:

Soalan: Anda merasakan Menteri Pendidikan perlu diganti?

Dr Mahathir: Tidak!

Soalan: Anda merasakan rombakan Kabinet perlu?

Dr Mahathir: Tidak. Tidak ketika masa (pentadbiran) saya.

Menyambung perbualan, Dr Mahathir berkata, kesemua menteri yang dilantik menduduki Kabinet mempunyai tanggungjawab dan tugas yang perlu dilakukan ketika ini.

"Calon (menteri) yang saya ada semuanya baharu. Menteri-menteri ini ada setahun pengalaman. Saya rasa saya ada tugas untuk memastikan beliau melaksanakan tanggungjawab baharu.

"Jika saya ambil menteri baharu, saya perlu memberikan masa untuk mereka menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu, dia mungkin tidak akan dapat melaksanakannya dengan baik.

"Menteri baharu tidak bermaksud menteri yang lebih baik. Begitu juga dengan Perdana Menteri," ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Dr Mahathir berkata, tindakan merombak Kabinet hanya akan mewujudkan lebih banyak masalah.

Merombak kedudukan jemaah menteri juga, ujar beliau, bukan jalan penyelesaian yang berkesan.

"Perdana Menteri yang seterusnya mungkin akan mempunyai Kabinetnya sendiri atau mungkin melakukan rombakan Kabinet.

"Apabila melakukan rombakan Kabinet, kamu mungkin akan mewujudkan banyak masalah. Itu sebab kenapa saya tidak begitu berminat untuk menyelesaikan masalah dengan menukar sesiapa (dalam Kabinet)," kata Perdana Menteri.

Dr Mahathir turut mengambil contoh pengalamannya semasa berada dalam pentadbiran terdahulu membuatkannya berpendapat sedemikian.

"Saya pernah menukar orang (Kabinet) sebelum ini. Kamu tahu, saya telah meletak jawatan dan kemudian saya diminta untuk kembali semula (ke kerajaan)," tambahnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan, beliau akan tetap melakukan peralihan kuasa apabila tiba masanya.

"Saya berjanji saya akan menjadi Perdana Menteri sementara. Saya akan melakukannya, saya akan tunaikan janji saya," ujar beliau.

Menurut Dr Mahathir, apa yang penting ialah beliau mahu menyelesaikan semua masalah utama negara sebelum menyerahkan jawatan kepada penggantinya.

"Saya perlu memastikan bahawa saya telah selesaikan semua masalah besar negara sebelum saya menyerahkan jawatan kepada pengganti. Tempoh masa yang tetap menjadi lebih sukar untuk saya melaksanakannya," kata Dr Mahathir lagi.

Perdana Menteri sebelum ini berkali-kali menegaskan tiada rombakan Kabinet berlaku selepas spekulasi mengenai sering diperkatakan dan merebak ke media sosial.

BACA: "Tiada menteri baharu, hanya pertukaran portfolio" - Tun M ulas spekulasi rombakan Kabinet