Sekumpulan penjenayah hanya mengambil masa kira-kira seminit untuk melarikan dua dulang emas dalam satu kejadian rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Lebuh Ampang di sini, petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.42 petang itu, empat suspek dilihat menaiki dua motosikal jenis Honda berwarna merah dan putih sebelum dua daripada mereka masuk ke dalam kedai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, suspek kemudiannya bertindak memecahkan kaca meja pameran dan membawa lari rantai dan cincin emas daripada dua dulang terbabit.


"Suspek menggunakan tukul besi dan parang untuk merompak serta memakai topi keledar dan sarung tangan bagi mengelakkan daripada dikenal pasti.

Semua suspek berpakaian kemeja putih ( jalur hitam ) dan berseluar hitam," katanya.

Nilai kerugian dianggarkan RM280,000.

Rompak Emas
Nilai kerugian dianggarkan RM280,000 - Foto Ihsan PDRM

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata kedai emas berkenaan sebelum ini pernah berdepan cubaan merompak pada tahun 2013.

Pemilik kedai emas berkenaan turut dilaporkan cedera di bahagian bahu selepas terkena tembakan semasa cubaan tersebut.

Tambahnya dalam kejadian terbaru, terdapat lima pekerja di premis berkenaan namun mereka berada di dalam pagar berjaring dan premis berkenaan tidak mempunyai pengawal keselamatan.

"Polis sedang meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi mengenal pasti semua suspek," katanya.

Menurutnya, rakaman CCTV mendapati terdapat tiga imej lelaki di tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata secara berkumpulan.