Harga runcit mingguan bagi petrol RON95 naik lapan sen kepada RM2.24 seliter, manakala RON97 pula naik sembilan sen kepada RM2.52 seliter berkuat kuasa esok hingga 19 April.

Harga diesel juga naik lapan sen kepada RM2.16 seliter.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui Facebook rasminya secara infografik menyatakan harga baharu mingguan itu akan berkuat kuasa pada pukul 12.01 tengah malam ini.


Harga runcit minggu lalu hingga 12 April ialah RM2.16 seliter bagi petrol RON95, RM2.43 bagi RON97, manakala diesel pula pada RM2.08 seliter.

Ini ialah pengumuman ketiga susulan penetapan harga petrol dan diesel secara mingguan pada setiap Rabu bermula 29 Mac lalu.

Pelaksanaan kaedah pengapungan terkawal secara mingguan bagi penetapan harga berkenaan dilakukan bagi menggantikan kaedah sebelumnya iaitu secara bulanan, seperti yang diumumkan menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 22 Mac berikutan keputusan Jemaah Menteri pada 22 Feb lepas.