Harga runcit petrol RON97 naik dua sen kepada RM2.65 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 dan RM2.18 seliter, berkuatkuasa tengah malam ini hingga 10 Jan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa berdasarkan pengiraan mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol RON95 dan diesel bagi tempoh itu masing-masing sepatutnya RM2.35 dan RM2.43 seliter.

"Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada di paras RM2.33 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.39 seliter.

"Bagaimanapun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada aras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter, selaras dengan keputusan kerajaan untuk menangguhkan Program Subsidi Petrol (PSP)," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk itu, anggaran subsidi yang perlu ditanggung kerajaan bagi tempoh 4 Jan sehingga 10 Jan berjumlah RM128.24 juta.

-- BERNAMA