Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor diarah keluar daripada mengikuti kes perbicaraan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pertuduhan kes SRC International Sdn. Bhd. melibatkan dana bernilai RM42 juta di Mahkamah Tinggi hari ini.

Sebelum itu, Rosmah yang mengambil tempat pada bahagian kerusi yang tertera tulisan ‘ahli keluarga’ melambai ke arah suaminya yang duduk di dalam kandang tertuduh.

Sekitar 10 minit selepas itu, Rosmah yang hadir bersama peguamnya diarah keluar apabila Timbalan Pendakwaraya, V. Sithambaram secara tiba-tiba mempersoalkan kewajaran wanita itu di dalam mahkamah kerana beliau merupakan seorang saksi yang berpotensi dalam kes berkenaan.

“Rosmah Mansor berada di mahkamah. Dia adalah saksi yang berpotensi. Kenyataannya sebagai saksi telah direkodkan.

"Kami tidak mahu sebarang masalah kemudian hari," kata Sithambaram.

Kehadiran Rosmah dibimbangi boleh mendatangkan masalah pada masa akan datang ekoran kenyataannya telah direkodkan sebelum ini dalam kes sama.

Semasa kejadian, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang menjalankan pemeriksaan balas ke atas bekas Pengerusi SRC, Tan Sri Ismee Ismail.

Melihat pertikaian yang berlaku, Rosmah tidak mengambil masa lama untuk meninggalkan kamar mahkamah.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salahguna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.