Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengemukakan permohonan bagi memindahkan 17 kes melibatkan pengubahan wang haram dan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamat Tinggi.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah, 67, berkata demikian kepada media selepas pengurusan kes dalam kamar di hadapan Timbalan Pendaftar, Nur Ain Mustapa.

"Timbalan Pendakwaraya Awam, Datin Nurshuhaida Zainal Azahar tidak membantah kepada permohonan itu tetapi mereka (pendakwaraya) akan menjawab kepada afidavit kami,” katanya.

Sementara itu, Datuk K. Kumaraendran yang juga bertindak bagi pihak Rosmah berkata, permohonan itu dikemukakan pada minggu lepas memandangkan kes itu melibatkan butiran undang-undang dan Mahkamah Tinggi adalah tempat yang terbaik untuk memutuskan mengenai isu ini.

“Permohonan itu akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali Khamis ini,” kata Kumaraendran dan menambah bahawa Rosmah tidak hadir semasa prosiding hari ini.

Pada 4 Okt, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750, dan lima pertuduhan kerana gagal mengisytihar pendapatan beliau kepada LHDN.

Atas pertuduhan pertama daripada lapan pertuduhan itu, Rosmah didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan terbabit terus dalam transaksi berkenaan yang membabitkan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang berjumlah RM1.1 juta yang dideposit ke dalam akaun beliau (nombor 100020000058) di Affin Bank Berhad.

Rosmah didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Lantai Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Dis, 2013 dan 8 Jun, 2017.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) undang-undang yang sama, yang menyediakan maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Bagi pertuduhan kesembilan hingga ke-12, Rosmah didakwa terbabit secara terus bagi 227 transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang berjumlah RM5,997,750.00 yang dideposit ke dalam akaun Affin Bank Berhad yang dimiliki beliau.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1) (a) akta yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai daripada hasil aktiviti menyalahi undang-undang atau RM5 juta, yang mana satu tinggi, jika didapati bersalah.

Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan gagal mengemukakan pendapatan beliau kepada Ketua Pengarah LHDN.

Ianya adalah bagi pertuduhan ke-13 hingga 17 di mana beliau didakwa terbabit secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang apabila gagal mengemukakan pendapatannya berjumlah RM7,097,750.00 yang didepositkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad bernombor 100020000058 yang dimiliki beliau antara 4 Dis, 2013 dan 8 Jun 8, 2017.

Seksyen 77(1) Akta Lembaga Hasil Dalam Negara 1967 memerlukan beliau mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April, 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negara, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei, 2014 dan 1 Mei, 2018.

Bagi pertuduhan ke-13, Rosmah didakwa di bawah Seksyen Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan di bawah Seksyen 4(1) undang-undang yang sama, yang membawa kepada denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-dua sekali, jika didapati bersalah.

Bagi pertuduhan ke-14 hingga ke-17 dibuat di bawah Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011 boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) undang-undang yang sama, yang menyediakan penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai yang sama daripada hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

-- BERNAMA