Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Rosmah Mansor dipanggil memberi keterangan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

Ia disahkan peguamnya, Datuk Geethan Ram kepada portal berita Sinar Harian.

Geethan berkata, anak guamnya telah menerima notis hadirkan diri.

"Esok, jam 12 tengah hari," katanya.

Rosmah dijangka akan ditahan sebelum dihadapkan dengan beberapa pertuduhan berkaitan projek hibrid solar ke mahkamah Khamis ini.

Sumber berkata, pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor dan bekas Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut dipanggil SPRM esok.

Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan daripada SPRM.

Semalam, media melaporkan Rosmah bakal berdepan dengan pertuduhan sekali lagi berhubung dakwaan melibatkan projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.

Rizal dijangka akan turut didakwa bersama.

Pada 11 Jun lalu, Kementerian Pendidikan memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu terlibat berkaitan isu penyelewengan pemberian kontrak membekal tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.