Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi memberi keterangan kali ketiga kepada suruhanjaya itu.

Beliau tiba jam 10.40 pagi dengan menaiki kereta Proton Perdana dan diiringi beberapa individu.

Rosmah dilihat memakai baju kurung dan selendang berwarna hijau.




Pada 26 Sept, Rosmah memberi keterangan kali kedua hampir 13 jam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

BACA: Lebih 12 jam di SPRM, Rosmah Mansor akhirnya keluar

Rosmah sebelum ini hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM kali pertama pada 5 Jun lepas yang mana beliau disoal siasat selama lima jam berhubung siasatan terhadap syarikat SRC International Sdn Bhd, sebuah subsidiari, 1MDB.

BACA: Rosmah selesai beri keterangan kepada SPRM - Peguam

Media sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Pada 20 Sept lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.

BACA: Selepas Najib, Rosmah pula didakwa?