Kementerian Pendidikan masih menunggu laporan terperinci daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor berhubung siasatan seorang pelajar sekolah menengah di Skudai, Johor dirotan gurunya.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, ketika ini pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) negeri itu sedang menjalankan siasatan mengenai insiden yang tular di laman sosial baru- baru ini.

Menurut Nie Ching, keputusan siasatan mengenai kes itu hanya akan diketahui selepas siasatan PPD dan JPN serta guru lelaki berkenaan selesai.

"Memang kita sudah kenal pasti (kejadian) berlaku di Johor. Sekarang PPD mulakan siasatan. Kita sudah minta JPN Johor untuk ambil tindakan dan keputusan akan dibuat selepas perjumpaan," kata Nie Ching.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu seorang guru lelaki yang didakwa merotan seorang pelajar perempuan sehingga berbirat di lengan dan paha kerana geram di panggil 'pondan'.

BACA: Guru tidak sepatutnya rotan pelajar perempuan - Teo Nie Ching

Dalam video berdurasi dua minit dan 28 saat itu, seorang wanita dilihat mempersoalkan tindakan guru lelaki selepas didakwa merotan anak perempuannya yang juga pelajar di sebuah sekolah menengah.

Guru berkenaan dilihat memberi penjelasan mengenai tindakannya merotan pelajar terbabit, namun dipertikaikan ibu berkenaan sambil menunjukkan kesan birat pada tubuh anaknya.

Video itu mendapat pelbagai reaksi netizen di laman sosial dengan ada yang mempertikaikan cara merotan hingga meninggalkan lebam.

Terdahulu, Nie Ching mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil ( SJKT ) Permatang Tinggi,di Bukit Mertajam pada Selasa.

Dalam lawatan itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi memastikan bangunan tambahan sekolah berkenaan disiapkan secepat mungkin.