Tutup

RTS: Lanjutan 6 bulan untuk kaji pelaksanaannya - Anthony Loke

RTS: Lanjutan 6 bulan untuk kaji pelaksanaannya - Anthony Loke
Tempoh lanjutan diperlukan bukan disebabkan tiada keputusan sebaliknya Malaysia telah memutuskan untuk meneruskan projek RTS yang kini tertakluk kepada persetujuan Singapura. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan lanjutan selama enam bulan bagi meneliti semula tiga perjanjian berkaitan projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor dan Singapura.
 
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata tiga perjanjian iaitu Perjanjian Dua Hala baharu, Perjanjian Usaha Sama dan Perjanjian Konsesi membabitkan persetujuan kedua-dua negara perlu dimuktamadkan sebelum 30 April tahun depan.
 
“Betul, kita ada permintaan lanjutkan selama enam bulan sebelum kita dapat menandatangani semua perjanjian, kerana kerajaan putuskan untuk meneruskan RTS dengan pindaan pada skop dan struktur projek.
 
“Apabila ada pindaan, perlu ada kajian (pada pindaan itu). Kita akan melantik perunding secara bersama untuk laksanakan kajian kejuruteraan serta pindaan pada perjanjian yang perlu kita tandatangani,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
 
Kenyataan itu sekaligus menafikan dakwaan akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini yang melaporkan bahawa lanjutan kali ketiga projek RTS yang menghubung jajaran sejauh 4km dari Bukit Chagar, Johor ke Woodlands, Singapura itu adalah disebabkan Malaysia belum mempunyai keputusan.
 
Tegasnya, tempoh lanjutan diperlukan bukan disebabkan tiada keputusan sebaliknya Malaysia telah memutuskan untuk meneruskan projek RTS yang kini tertakluk kepada persetujuan Singapura.
 
“Tempoh enam bulan itu bukan penggantungan untuk meneliti semula (diteruskan atau tidak) projek RTS, tapi untuk mengkaji bagaimana pelaksanaannya,” katanya.
 
Beliau mengulas laporan media Singapura yang memetik kenyataan Menteri Pengangkutan negara itu, Khaw Boon Wan, bahawa Malaysia memohon lanjutan enam bulan pada 29 Oktober lepas bagi projek RTS untuk kali ketiga, sehingga 30 April 2020.




Tag: Media, Singapura, Parlimen, Malaysia, TRS, Sistem Transit Rapid, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Perjanjian Dua Hala



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.