Satu kejadian kebakaran telah berlaku di ruang pameran perkakas pusat membeli belah Kota Southkey di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 2.25 petang itu, beberapa perkakas termasuk perabot turut musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Haizrul Rahmad, berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan pada jam 2.45 petang tadi (Rabu).

"Sebuah jentera dari BBP Larkin dengan kekuatan anggota seramai tujuh orang digegaskan ke lokasi bagi mengawal kebakaran.

Beberapa perkakas termasuk perabot turut musnah dalam kejadian berkenaan. - Foto ihsan bomba

"Setiba dilokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran perkakas pameran berkeluasan 30x30 dalam pusat membeli belah berkenaan.

"Kebakaran berjaya dipadamkan oleh pihak pengurusan bangunan dengan menggunakan sistem pancur (hose reel) dan empat unit alat pemadam api jenis debu kering," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Haizrul, punca kebakaran serta anggaran kerugian masih di dalam siasatan.

Video rakaman kebakaran berkenaan turut tersebar di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp selepas ia dipercayai dirakam oleh pengunjung di situ.