Sebuah syarikat menanggung kerugian RM23,310 selepas diperdayakan seorang 'pembeli' yang mengemukakan slip pemindahan wang palsu kepada kerani syarikat berkenaan kononnya sebagai bukti pembayaran pembelian alat pendingin udara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata kerani wanita syarikat itu yang berusia 41 tahun mendakwa suspek menghubunginya pada Sabtu lalu untuk membeli 25 buah set pendingin udara.

"Suspek telah mengemukakan slip pemindahan wang kononnya sebagai bayaran set pendingin udara dan mangsa menyerahkan barangan tersebut selepas melihat slip itu.

"Bagaimanapun, mangsa kemudiannya dimaklumkan oleh kerani akaun syarikat bahawa tiada kemasukan wang seperti yang didakwa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Wazir berkata hasrat seorang kerani untuk bermalam di hotel ternama di Genting Highlands tidak kesampaian apabila ditipu seorang lelaki yang mendakwa boleh mendapatkan bilik tersebut.

Mangsa yang berusia 31 tahun mendakwa telah berurusan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Muhamad Ikhwan dan membuat bayaran berjumlah RM3,600 untuk tempahan tiga bilik untuk penginapan tiga hari dua malam menerusi tiga transaksi bermula 20 Julai lalu.

"Bagaimanapun suspek tidak dapat dihubungi selepas mangsa selesai membuat pembayaran menyebabkan dia membuat laporan polis kerana merasa ditipu," katanya.

-- BERNAMA