Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada mereka yang mempunyai kepakaran dalam isu pendermaan organ dan darah termasuk individu yang arif dalam bidang agama.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan Tan Sri Lee Lam Thye berkata adalah tidak wajar mengaitkan isu kaum dan agama apabila berbincang mengenai pendermaan organ kerana membabitkan nyawa mereka yang amat memerlukan bantuan organ dan darah.

"Seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Kesihatan, sistem pengagihan organ daripada penderma yang telah meninggal dunia kepada penerima dijalankan berdasarkan kepada kriteria klinikal dan bukan atas dasar bangsa, agama, status dalam masyarakat dan sebagainya.

Selain itu, ia juga bergantung kepada tempoh pesakit menjalani rawatan serta keserasian organ tersebut dengan sistem badan penerima. Dalam soal pendermaan dan transfusi darah pula latar belakang penderma dan penerima bukanlah perkara utama yang akan menjadi pertimbangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

BACA: Pengagihan organ, darah yang diderma tidak mengambil kira agama dan bangsa - KP Kesihatan

Lee berkata secara amnya, memang terdapat kemungkinan organ yang didermakan oleh orang bukan Islam diberikan kepada seorang Islam dan sebaliknya, justeru, penderma organ haruslah melakukannya dengan hati terbuka dan ikhlas demi menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengenai sistem pengagihan organ daripada penderma yang telah meninggal dunia dilakukan tanpa mengira agama, latar belakang dan status penerima di dalam masyarakat.

Lee berkata mana-mana pihak yang bercadang untuk menderma organ dinasihatkan berbincang atau memaklumkan hasrat mereka kepada anggota keluarga bagi mengelakkan sebarang kekeliruan selepas mereka meninggal dunia.

Menurutnya individu yang berusia bawah 18 tahun pula perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga untuk berdaftar sebagai pengikrar penderma organ.

Tambahnya lagi, bagi mereka yang beragama Islam hendaklah merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan seawal tahun 1970 oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharuskan pendermaan organ dalam kalangan umat Islam.

-- BERNAMA