Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan menafikan diberitahu mengenai rumahnya yang terletak di Mont Kiara dilelong pada harga RM2.1 juta dalam satu acara lelongan pada Sabtu.

Tegasnya, dia tidak tahu menahu atau diberi sebarang notis atau writ mengenai lelongan itu.

"Saya tidak tahu menahu dan tidak diberi sebarang notis ataupun writ mengenai lelongan rumah saya.

"Lelongan ini juga difahamkan diadakan semalam. Saya pun dengar melalui saluran media sosial.

"Namun saya akan bincang dgn peguam saya pada hari Isnin nanti," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Sebuah akhbar melaporkan, seorang wanita dari Damansara yang enggan dikenali memberitahu membeli rumah suami kepada pelakon Umie Aida itu selepas tiada mana-mana pihak membida rumah tersebut ketika lelongan dibuat.

Wanita itu juga mengakui tidak tahu siapa pemilik asal rumah berkenaan kerana hanya mengetahui mengenai lelongan menerusi iklan dan berminat membelinya kerana hartanah tersebut bernilai tinggi.

Khairuddin yang mencetuskan kontroversi apabila membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya juga didakwa diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi pada 24 Mei 2013.

Sebelum ini, Pemuda UMNO Bahagian Batu Kawan turut meminta status dan kedudukan Khairuddin dalam politik disiasat Lembaga Disiplin UMNO.

Dalam pada itu kata Khairuddin, walaupun tekanan diberi, dia akan tetap meneruskan perjuangan untuk menentang ketidaktelusan di dalam pentadbiran 1MDB.

"Saya akan lawan secara habis-habisan. Alang-alang seluk,pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

"Demi kepentingan rakyat jelata, saya berikrar utk memerangi rasuah mahupun penyelewangan di negara kita dalam setiap segi.

"Ini adalah cabaran perjuangan saya yang amat kerdil. Saya adalah pejuang yang sekiranya ditekan, akan menjadi semakin kuat. Saya dilahirkan dalam keluarga pejuang UMNO," jelasnya.

Khairuddin turut melahirkan keyakinan kebenaran akan muncul dalam sedikit masa lagi dan menyedari apa yang dialami adalah satu cabaran.

"InsyaAllah dalam sedikit masa lagi kebenaran akan muncul. Ini adalah dugaan dan cabaran perjuangan dan saya telah bersedia utk kehilangan segala-galanya namun perjuangan akan tetap saya teruskan," ujarnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menjelaskan, kertas siasatan ke atas 1MDB akan dibuka bagi meneliti laporan polis yang dibuat Khairuddin.

Ahmad Zahid turut berkata, pihaknya juga sudah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan prosedur siasatan biasa selepas kertas berkenaan dibuka kelak.