Seorang suri rumah maut dipercayai akibat dijerut dengan menggunakan tali nilon dalam kejadian samun di Taman Permai, Kampung Tawas, dekat sini petang Isnin.

Mayat mangsa yang berusia 32 tahun itu ditemui terbaring di ruang utama rumahnya oleh adik iparnya sekitar jam 4 petang.

Ketua Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) Perak, SAC Yahya Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai disamun dimana jumlah barangan kemas yang hilang dianggarkan bernilai sekitar RM3,000.

"Pemeriksaan awal polis mendapati kesan jerut pada leher mangsa, dengan tali nilon yang diikat pada tingkap.

"Ketika kejadian, bapa mertua mangsa ada di rumah tetapi di dalam bilik lain. Bapa mertuanya itu mempunyai masalah pendengaran, dia tidak dengar mangsa menjerit," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, semalam.

Katanya, polis percaya kejadian tersebut dilakukan oleh dua orang suspek berumur dalam lingkungan 20- hingga 30-an berdasarkan siasatan awal.

Menurut Yahya, hasil siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran, polis berjaya mengenal pasti suspek dan kini dalam usaha menjejaki kedua-dua mereka.

"Kita (polis) nampak suspek masuk ke dalam rumah kurang 10 minit, dan kemudian terus keluar. Kita juga percaya suspek mempunyai pertalian saudara dengan mangsa," ujarnya lagi.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.