GEORGE TOWN:Sebuah rumah kayu berusia hampir 100 tahun tahun yang terletak di Jalan Datuk Kramat, George Town musnah dijilat api dalam kebakaran tengah hari Selasa.

Kepulan asap tebal mencetuskan suasana cemas orang ramai di sekitar kawasan berkenaan apabila api turut menyambar lima unit pejabat yang berada di bangunan bersebelahan rumah berkenaan.

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, bagaimanapun berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan yang memusnahkan 90 peratus rumah kayu itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12 tengah hari sebelum pasukannya dihantar ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah Kelas C (rumah kayu) dengan 90 peratus sudah terbakar manakala bangunan bersebelahan mengalami kerosakan kecil iaitu lima peratus kemusnahan," katanya.

Kepulan asap tebal mencetuskan suasana cemas orang ramai di sekitar kawasan berkenaan.

Kerja pemadaman kebakaran dilakukan 30 anggota bomba dari Jalan Perak dan Lebuh Pantai, bersama 40 anggota bomba sukarela.

"Ketika kejadian kami menghadapi kesukaran untuk memadamkan api kerana faktor angin kuat dan ia juga menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat.

"Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 1 tengah hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Punca kebakaran dan kerugian masih disiasat, katanya.

Dalam pada itu, kebakaran berkenaan turut menyebabkan jalan raya di sekitar pusat bandar George Town sesak hampir dua jam berikutan laluan berkenaan ditutup kepada lalu lintas.