Sebuah rumah kayu yang dijadikan setor penyimpanan bahan binaan milik Syarikat Langkasuka Point Sdn Bhd musnah dalam kebakaran di belakang Taman Sri Negeri, Kuah, Langkawi, petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 1.50 petang itu, keseluruhan stor yang membekalkan bahan binaan untuk Pusat Latihan Getah, Langkawi itu musnah sepenuhnya.


Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Redzuan Md Edar berkata, seramai 13 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 1.50 petang.

Sebaik tiba, hampir keseluruhan struktur setor itu musnah dalam kebakaran dan api dapat dikawal 40 minit kemudian.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut Mohd Redzuan, punca kejadian masih dalam siasatan.

Jumlah kerugian awal dianggarkan lebih RM500,000.