Kediaman jenis kondominium atau pangsapuri yang dihubungkan dengan kompleks beli-belah barangkali bukan sesuatu yang asing buat sebilangan besar daripada kita.

Di kota-kota besar di seluruh dunia, kemampuan mereka yang membeli sebuah unit kediaman sedemikian sudah dikategori sebagai orang kaya.

Namun, pernahkah anda membayangkan sebuah kompleks taman perumahan dibina di tingkat 10 kompleks beli-belah?

Kedengaran seperti pelik, namun realitinya taman perumahan mewah khusus buat golongan elit sudah terbina di Jakarta, Indonesia.

Kompleks perumahan itu terletak di tingkat 10 pusat beli-belah Thamrin City yang kini menjadi bahan perbualan netizen di laman sosial Twitter.

Perbincangan isu kompleks perumahan in bermula dengan entri yang dimuat naik oleh seorang netizen yang juga pemegang akaun Twitter @shahrirbahar pada Selasa.

Beliau yang menulis nota; "Good morning Jakarta. Macam mana lah diorang terfikir nak develop taman perumahan atas bangunan?" itu mengundang ratusan reaksi selain diulang kicau sebanyak 23,000 kali.

Turut mengiringi entri itu ialah sekeping foto kompleks perumahan mewah itu yang menyebabkan pertanyaan beliau mengundang pelbagai pandangan.

Rentetan Tweet @shahrirbahar juga menarik perhatian portal berita popular Indonesia, Kompas.com yang melakukan tinjauan di kompleks perumahan yang dimaksudkan itu.

Portal berkenaan melaporkan, akses kompleks perumahan itu ialah dari tingkat 10 Jakarta Residence.

Kehadiran pengunjung ke kompleks itu akan disambut dengan sebuah kolam renang besar selain pepohon hijau.

Seorang petugas keselamatan di bangunan berkenaan mengakui, bahawa terdapat sebuah kompleks perumahan mewah di situ.

"Benar ada bangunan (perumahan) di sini di lantai 10. Sudah lama kompleks perumahan ini ada cuma baru viral dan diketahui ramai sejak kebelakangan ini," kata petugas berkenaan kepada Kompas.com.

Sekalipun dibina di tingkat 10 pusat beli-belah, namun keadaan kompleks perumahan mewah ini sama dengan kediaman di atas tanah seperti yang lazimnya dilihat.

Melihat perkembangan ini tentu sekali akan mengingatkan kita inilah harga yang perlu dibayar untuk menikmati kemajuan dalam hidup.

Kalau dahulu kondominium atau pangsapuri mencakar langit, kini giliran taman perumahan pula.

Selepas ini, apa pula yang difikirkan akan dilakukan oleh manusia?