Kerajaan perlu mewujudkan langkah yang menguntungkan bagi menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik di kalangan pemaju.

Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah (HBA) berpendapat langkah itu juga bagi mendorong pemaju menceburkan diri dalam pembinaan rumah mampu milik mengambil kira kos pembinaan dan sebagainya.

Setiausaha Agung kehormat HBA Chang Kim Loong berkata antara langkah yang baik yang boleh diambil adalah mewujudkan satu cukai khas dan mengkaji kos bagi pembinaan hartanah jenis ini.

“Mereka (pemaju) berorientasikan keuntungan, mereka tidak berada di sana untuk melakukan amal, jadi perlu adakan langkah yang menguntungkan pemaju untuk membina rumah mampu milik.

"Maksudnya, mereka mesti melihat pembinaan rumah mampu milik tidak menjejaskan keuntungan mereka. Jadi bagi membolehkan pemaju menceburkan diri dalam pembinaan rumah mampu milik, satu pendeposit cukai khas harus diberikan kepada pemaju," katanya.

Tambah Chang, kerajaan perlu bersedia mengurangkan kos pematuhan, pembinaan dan kos utiliti pembinaan untuk kemasukan elektrik dan air yang sangat tinggi ketika ini.

"Pemaju sentiasa mengadu tentang kos pematuhan yang tinggi, caj pembangunan, premium penukaran, yuran permohonan kepada majlis tempatan adalah sangat mahal. Mungkin kita harus melihat ke dalam Syabas TNB dan semua syarikat utiliti dan SOP pematuhan mereka dalam menggalakkan pembinaan rumah mampu milik di kalangan pemaju," jelas Chang.

Chang turut menyarankan agar satu jabatan khas diadakan bagi menyimpan dan mengawal data-data mengenai pembeli, pemaju serta menyelia pembinaan rumah mampu milik di setiap negeri agar kita tahu status rumah mampu milik yang disediakan buat rakyat.

Chang berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Selasa yang mendakwa bahawa permintaan rumah mampu milik kini mencecah sehingga 48 peratus manakala pembangunan yang ada hanya 24 peratus.

Oleh yang demikian, kerajaan kini sedang menggalakkan pembinaan rumah mampu milik bernilai RM300,000 ringgit ke bawah dipertingkatkan bagi memastikan permintaan rakyat untuk hartanah jenis itu dapat dipenuhi.