Penduduk Rumah Raweng di sini bersyukur kerana rumah panjang yang didiami mereka lebih empat tahun lalu akhirnya menerima bekalan elektrik sepenuhnya.

Mereka selama ini hanya bergantung kepada kuasa generator bagi mendapatkan bekalan elektrik.

"Saya akan memastikan kehendak dan keperluan masyarakat setempat terutamanya di kawasan Parlimen saya dipenuhi. Ini merupakan sebahagian daripada permintaan yang ditunaikan dalam Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah," kata Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang merupakan Ahli Parlimen Batang Lupar, dalam ucapannya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat hari ini.

Rumah panjang kaum Iban dengan 12 pintu ini didiami oleh kira-kira 70 penghuni yang rata-ratanya bergantung hidup sebagai petani dan bekerja sendiri.

"Di bawah kepimpinan Barisan Nasional penduduk dapat menikmati apa yang mereka sepatutnya perolehi terutamanya perkara-perkara asas seperti bekalan elektrik dan air bersih," kata Tuai Rumah Raweng, AK Jalong.

Program BELB dilaksanakan bertujuan untuk menyediakan kemudahan bekalan elektrik ke rumah-rumah di kampung-kampung tradisional di luar kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara, termasuklah rumah-rumah panjang di kawasan pedalaman negeri Sabah dan Sarawak.