Sebuah rumah teres dua tingkat milik seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Taman Suria Tropika, Seri Kembangan, dekat sini terbakar dalam satu kejadian pada Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, kes dipercayai akibat perbuatan khianat.

Menurutnya, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang serta Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian bersama 15 anggota selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.37 petang itu.

Beliau ketika dihubungi Bernama berkata punca kebakaran masih lagi disiasat.

Sementara itu, menurut sumber, ketika kejadian, pegawai kanan berusia lewat 30-an itu tidak berada di rumah kerana sedang bertugas di ibu pejabat SPRM manakala anak dan isterinya berada di kampung.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali mengesahkan kepada Bernama telah menerima laporan berhubung kejadian itu.