Lebih 50 penghuni di Taman Saujana Indah, Bukit Katil, di sini terpaksa mendiami rumah yang mengalami masalah retak teruk sejak empat tahun lalu.

Mendapan tanah dipercayai menjadi punca keretakan itu yang mula dikesan penduduk selepas enam bulan mendiami rumah tersebut.

Kebanyakan rumah jenis berkembar satu setengah tingkat yang mempunyai empat bilik itu mula didiami sejak tiga tahun lalu.

Penduduk mendakwa, keretakan dikesan di beberapa bahagian rumah, termasuk dinding, tiang, kaki lima dan pagar.

Menurut penduduk, pemaju telah membaiki keretakan berkenaan di beberapa buah rumah yang terjejas, namun, keretakan masih berterusan.

“Satu kerisauan adalah tentang keselamatan anak-anak, lagi- lagi pada musim hujan. Rumah ini tempat kita tidur, tenangkan fikiran dan sebagainya, jadi bila masalah ini berlarutan sejak 2012, kita rasa tak selamatlah.rumah kita labur tapi jadi sebaliknya.

“Kecelakaan boleh berlaku bila-bila. Mungkin tak runtuh, tapi anak saya boleh termasuk lubang,” keluh seorang pemilik rumah, Zairi Suboh.

Semua pemilik kediaman yang terjejas memohon agar penyelesaian jangka panjang dapat dilakukan pemaju bagi menangani masalah keretakan itu kerana dibimbangi ia boleh mendatangkan risiko.

Penduduk mendakwa, laporan ujian tanah yang dijalankan sebuah agensi yang dilantik pihak pemaju sebelum ini mengesahkan, kawasan berkenaan selamat untuk didiami dan kerja baik pulih boleh dijalankan.

Pergerakan tanah antara 260 milimeter hingga 325 milimeter hanya akan berlaku dalam tempoh 10 hingga 11 tahun.

Mendapan tanah dipercayai menjadi punca keretakan itu yang mula dikesan penduduk selepas enam bulan mendiami rumah tersebut.

Bagi seorang lagi pemilik rumah, Huang Kok Cherng, dia dan keluarganya berasa sangsi dengan jaminan keselamatan yang dinyatakan oleh jurutera bebas yang dilantik syarikat pemaju.

“Walaupun jurutera bebas mempunyai laporan yang mengatakan rumah kami selamat dihuni kerana strukturnya masih baik, mengapa pula pemaju menghantar orang memasang staging (struktur penyokong)?

“Itu mesti dia sudah rasa (ada yang tidak kena). Setakat ini kami masih belum mendapat sebarang maklum balas dari pemaju dan keadaan kami sangat berbahaya,” ujarnya.

Sementara itu bagi Azlina Iskandar, rumah yang didudukinya menunjukkan kesan keretakan baharu setiap hari.

“Tiang depan retak makin hari makin besar, tunggu nak runtuh saja. (Retak ) di bahagian tepi tu pula memang makin hari makin besar,” luahnya.

Keadaan di salah satu sudut kediaman yang menunjukkan rekahan ketara. - Foto Astro AWANI