Sebuah banglo terletak di Jalan Utama, Pulau Tikus, kawasan kediaman kelas pertengahan atas di Pulau Pinang, merupakan hartanah kediaman termahal dijual di Malaysia pada tahun lepas dengan harga RM14.5 juta.

Penyenaraian 10 jualan hartanah kediaman termahal di Malaysia sepanjang 2017 dikumpul oleh iPropertyiQ.com, syarikat penyedia perkhidmatan penyelesaian data besar dan jabatan kelolaan portal hartanah, iProperty.com.

Senarai yang dikumpul oleh portal hartanah itu berdasarkan hasil jualan mengikut rekod Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Hartanah (JPPH).

"Sebagai syurga makanan terkemuka, Pulau Tikus juga merupakan kediaman kegemaran golongan ekspatriat dari China, Indonesia dan Thailand.

"Antara tempat tumpuan ramai di kawasan ini termasuk Gereja Immaculate Conception dan pasar pagi Pulau Tikus.

"Median harga untuk setiap kaki persegi bagi banglo di Pulau Tikus ialah RM570," kata iProperty.com dalam satu kenyataan.

Sembilan jualan hartanah kediaman termahal lain yang turut tersenarai adalah banglo di Jalan Bunga Hinai, Tanjung Tokong di Pulau Pinang pada RM13.6 juta, banglo di Bukit Tuanku, di sini (RM12.6 juta) dan kondominium Serai Bukit Bandaraya, Bangsar (RM12.1 juta) serta banglo di Bukit Damansara (RM12 juta).

The Enclave Bangsar (RM12 juta) serta rumah bandar di One Menerung Bangsar (RM10 juta) dan kondominium The Binjai On The Park, KLCC (RM9.9 juta), banglo di Masera Bukit Segar Cheras (RM9.8 juta) dan banglo di Casa Permai, Tanjung Tokong (RM9 juta).

-- BERNAMA