Lima wanita termasuk tiga daripadanya warga negara China dicekup polis selepas didapati menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah premis rumah urut dalam serbuan di kawasan Inanam, dekat sini, malam Rabu.

Dalam kejadian jam 10.05 malam itu, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 68 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota daripada Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menerima maklumat berkenaan kegiatan haram berkenaan di lokasi terbabit.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, dua wanita tempatan yang ditahan dalam kejadian itu disyaki bekerja sebagai penjaga premis manakala tiga lagi suspek warga China itu difahamkan bekerja sebagai tukang urut dan bergiat dengan aktiviti pelacuran.

"Ketiga-tiga suspek berusia 34, 38 dan 41 tahun wanita warga China itu dipercayai memasuki negeri ini dengan menggunakan pas lawatan sosial dan bekerja di premis berkenaan dengan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

"Kesemua suspek termasuk dua penjaga premis yang merupakan warga tempatan masing-masing berusia 25 dan 68 tahun di lokasi itu turut diberkas untuk tindakan lanjut," katanya, dalam kenyataan media IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua pekerja premis kini ditahan reman di IPD Kota Kinabalu mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan iaitu menguruskan rumah persundalan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi tiga warga China berkenaan, Habibi berkata, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan iaitu menawarkan perkhidmatan seks bagi tujuan pelacuran yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.