Industri rumpai laut Sabah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan China, Filipina dan Jepun antara negara pengimport hasil laut berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, negara anggota Kesatuan Eropah juga berminat untuk mengimport produk itu, namun ia bergantung kepada gred rumpai laut yang dihasilkan.

"Jabatan Perikanan mempunyai standard tersendiri dalam penggredan rumpai laut dan sama ada pengusaha memiliki sijil Malaysian Good Agricultural Practices (MyGAP) dan jika mereka menepati syarat negara pengimport maka sudah tentu eksport pasaran lebih meluas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama peserta kluster ternakan rumpai laut Lok Buton serta pra-pelancaran Seaweed Splash 2018 di Pelantar Lok Buton di sini, pada Isnin.

Munir berkata, pihaknya bersama SIRIM serta Jabatan Standard Malaysia telah mengeluarkan garis panduan bagi amalan baik ternakan rumpai laut dan sehingga kini lebih lima ladang projek kluster Lok Buton di Semporna mendapat pensijilan MyGAP.

"Ini juga menyumbang kepada kenaikan nilai harga rumpai laut iaitu apabila dikeringkan 30 peratus kadar kelembapannya, harga sekilogram RM3.20 berbanding 60 sen hingga RM1.20 sen sahaja suatu ketika dulu," katanya.

Katanya, jabatan itu komited membangunkan produk berasaskan rumpai laut melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Munir berkata, pada 2016 kira-kira 23,000 tan metrik rumpai laut bernilai RM44 juta dihasilkan dan sekali gus menjadi sumber kepada kira-kira 1,200 penternak di kawasan pengkulturan rumpai laut di Sabah iaitu di Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Tawau dengan keluasan 13,000 hektar.

Sementara itu, beliau berkata, Seaweed Splash 2018 akan diadakan pada akhir Mac ini di Semporna dan menyasarkan 5,000 penggiat industri tersebut.

-- BERNAMA