Kerajaan negeri Perak membeli sebuah kereta jenis Lexus ES Sedan sebagai kenderaan rasmi Menteri Besar bagi menggantikan Toyota Camry yang diberikan kepada seorang Exco.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kereta yang digunakannya sebelum ini diserahkan kepada Exco baharu.

Menurutnya, kerajaan negeri pada pertengahan tahun lalu 16 unit Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi barisan Exco kerajaan negeri dan tiga pegawai kanan kerajaan.

Bagaimanapun, sebuah telah dijual kepada bekas Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Rohana Abdul Malek dengan harga lebih RM100,000.

"Beliau nyatakan hasrat untuk membeli salah satu kereta tersebut dan kita setuju jual memandangkan beliau merupakan Penasihat Undang-Undang negeri yang paling lama berkhidmat.

"Apabila Penasihat Undang-Undang negeri yang baharu datang dan semua Exco sudah dilantik, saya berikan kereta saya kepada salah seorang Exco untuk digunakan, itu sebab kita kurang satu kereta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet, sempena pembukaan hari pertama sesi persekolahan di sini, pada Rabu.

Menurutnya, kereta Lexus ES Sedan tersebut dibeli dengan harga diskaun antara RM40,000 hingga RM50,000 memandangkan model tersebut dikeluarkan pada tahun 2019.

Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri turut membuka tender bagi penjualan beberapa kenderaan yang tidak lagi digunakan termasuk Mercedes Benz S Class.

Pada Jun tahun lalu, kerajaan negeri Perak membeli 16 unit kereta Toyota Camry terbabit bagi menggantikan kereta Proton Perdana yang dibeli pada tahun 2014.