Kabinet memutuskan status Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan diteliti dan diperhalusi semula, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Dalam satu kenyataan, Takiyuddin menjelaskan beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Hasil perbincangan tersebut akan dibawa ke peringkat perbincangan dalam Kluster Keselamatan yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum dibawa ke Mesyuarat Kabinet untuk diputuskan," katanya.

Pada Julai tahun lepas, RUU IPCMC dibentangkan buat kali pertama di Dewan Rakyat oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Sebelum itu, RUU tersebut ditangguh dua kali, dan ia juga dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang untuk semakan semula.