Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Profesor Datin Dr Azizan Baharuddin hari ini menyarankan pihak yang mengemukakan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 dan pihak yang menolak pelaksanaannya supaya duduk berbincang bersama.

Langkah itu katanya bagi memberikan kefahaman dan penjelasan yang lebih baik mengenai isu berkaitan agama yang diutarakan melalui rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat itu.

"Semua pihak terlibat, atau merasakan diri mereka terlibat, harus duduk bersama dan berbincang secara 'close door' (tertutup) buat permulaannya, supaya diberi peluang penjelasan diberikan," katanya.

Azizan berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang IKIM 2015 dan Anugerah Pekerja Setia 2016 di sini hari ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul rang undang-undang persendirian itu di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu.

Perbahasannya ditangguhkan ke sesi akan datang memandangkan ia merupakan hari terakhir persidangan.

Beberapa pihak, termasuk ketua parti komponen Barisan Nasional dilihat cuba menyatakan bantahan mereka terhadap usul itu, mengaitkannya dengan pelaksanaan hukum hudud yang tidak dipersetujui mereka.

BACA: Hudud: Presiden MIC mahu letak jawatan, akan bawa isu kepada Kabinet

BACA: MCA bantah apa jua RUU berkaitan hudud di Malaysia - Liow

Azizan berkata, perbincangan secara bersama mampu mewujudkan persefahaman dan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bersama-sama mencapai kata sepakat.

"Saya sangat pasti bahawa kita perlu bersangka baik kepada pihak-pihak yang mengutarakan rang undang-undang ini, iaitu mereka tidak menyusahkan orang lain. Ini yang tidak sempat dibincangkan," ujarnya.

Beliau menggesa rakyat Malaysia agar menghadapi isu berkenaan dengan tenang kerana banyak lagi cabaran yang bakal ditempuhi sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

"Rakyat Malaysia perlu bertenang sebab ini bukan pertama dan ia bukan akan jadi kes terakhir. Akan datang macam-macam lagi. IKIM mengambil serius perkara ini," katanya lagi.

Tambah Azizan, dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, setiap orang mempunyai hak untuk menyuarakan sesuatu pendapat.

Tegasnya, tindakan mewujudkan konflik antara agama tidak mencerminkan tamadun yang tinggi di kalangan kelompok-kelompok etnik di negara ini.

"Kita ada kaum Melayu, Cina, India. Inilah masanya kita kemukakan (keistimewaan kita). Jangan asyik melihat ke Barat sahaja untuk melihat isyarat mana hala tuju kita," tambahnya.

Justeru katanya, persepsi negatif dalam kalangan masyarakat perlu diperbetul bagi mengelakkan ketegangan kaum.