Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 (SST) dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Kedua-dua RUU tersebut tersebut dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Dr Md Farid Md Rafik bersekali dengan tiga lagi RUU yang lain.

Ia termasuk RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018, RUU Kastam (Pindaan) 2018 serta RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018.

Secara prosedurnya, RUU GST perlu dimansuhkan terlebih dahulu seiring manifesto Pakatan Harapan sebelum sebarang RUU baharu percukaian dibentangkan.

Sementara itu, RUU Kastam (Pindaan) 2018 pula berkait prosedur percukaian yang mana Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap proses percukaian tersebut.

Bacaan kali kedua dan perbahasan kesemua RUU tersebut dijangka pada 7 Ogos depan.