Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen dijangka bakal diusulkan di Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini draf tersebut perlu mendapat kelulusan Kabinet.

“Kalau ikut semangat dalam Pakatan Harapan, kita harus teruskannya (Akta Perkhidmatan Parlimen) dan ia memerlukan persetujuan dasar oleh Kabinet dan tindakan di pejabat undang-undang termasuk penggubal undang-undang (Parliamentary Draftsman).

“Ia sepatutnya berfungsi dari Parlimen supaya ada hubungan terus dengana anggota Parlimen atau Jawatankuasa Terpilih berkaitan.

“Perkara ini kita baru kemukakan dan kalau boleh kita mahu ia dipercepatkan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Pakatan Harapan sebelum ini berjanji supaya Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992 dikembalikan dalam usaha mempertingkatkan kuasa autonomi Parlimen.

Ini kerana, akta itu penting kerana menjadi asas kepada agenda reformasi Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang menggariskan pengasingan kuasa antara Parlimen dan bidang kuasa lain.

Melalui akta ini juga, aspek kewangan Parlimen dapat diurus sendiri secara bebas kerana Parlimen mengetahui kepentingan perbelanjaan yang diperlukan.

Sekiranya akta ini diperkenalkan semula, ia memberi asas kepada pengasingan kuasa yang baik seperti yang pernah diamalkan dahulu.