Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (SIP) yang baharu akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Oktober ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata RUU itu telah mendapat persetujuan hasil rundingan tiga pihak melibatkan Kerajaan, majikan dan pekerja.

"Melihat kepada kuantum atau peratusan yang akan dibayar majikan dan juga pekerja, kita telah mengambil keputusan bahawa ia akan dibentangkan sebagai RUU baharu.

"Ini bererti saya tidak akan baca kali kedua di mana RUU yang pertama (sebelum ini) kita akan umumkan sebagai boleh dikatakan ditarik balik dan kita akan membentangkan RUU baharu besar kemungkinan pada 24 Oktober selepas RUU pertama ditarik dan lepas itu, bacaan kedua dan ketiga akan dibuat pada 24, 25 dan 26 Oktober ini," katanya kepada Astro AWANI selepas sesi taklimat ketua pengarang media berkenaan pelaksanaan SIP di ibu negara hari ini.

Katanya, RUU sebelum ini yang dibentangkan pada 1 Ogos lalu ditarik semula selepas mendapat tentangan daripada beberapa pihak terutama kesatuan pekerja.

Malah, pihaknya juga telah mengadakan lebih 20 sesi perbincangan melibatkan pihak berkepentingan bagi memastikan jumlah caruman yang bakal dilaksanakan memberi manfaat besar kepada pekerja.

"Selepas diluluskan Majlis Ekonomi Negara, kita (Kementerian Sumber Manusia) membawa RUU ini ke Kabinet dan telah diluluskan. Kabinet juga meminta supaya mengadakan lagi rundingan dengan majikan dan pekerja berkenaan kuantum atau jumlah caruman.

"Dalam perbincangan itu majikan dan pekerja telah setuju bahawa jumlah caruman adalah 0.4 peratus iaitu 0.2 peratus caruman majikan manakala 0.2 peratus lagi melibatkan pekerja," katanya.

Malah, pihaknya juga telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa buah negara pelaksana SIP seperti Thailand, Jepun, Korea Selatan, Finland dan Norway dalam mendapatkan input terbaik bagi pelaksanannya di negara ini.

RUU SIP bertujuan membantu mereka yang kehilangan pekerjaan mendapatkan bantuan kewangan dan mencari pekerjaan baharu selain menjadi jaringan keselamatan sosial yang dibiayai melalui caruman daripada pekerja dan majikan, manakala dananya akan ditadbir urus oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Semua pekerja tempatan dalam sektor swasta akan menikmati skim ini bermula tahun hadapan. Selepas penguatkuasaan udang-undang itu, bayaran faedah dijangka boleh dibuat mulai 1 Januari 2019.

Skim itu bagaimanapun tidak membabitkan mereka yang berhenti secara sukarela.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan membantah RUU SIP sebelum ini dengan alasan jumlah pekerja tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat penutupan syarikat adalah kecil.

Malah, beliau melihat pelaksanaan SIP tidak praktikal apabila pihak majikan dan pekerja terpaksa membayar (50 peratus bagi setiap pihak) jumlah caruman lebih daripada RM1 bilion setahun.