Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (SIP) mula dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat malam ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata RUU itu dirangka dengan mengambil kira untuk membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk bekerja secepat mungkin.

"Jumlah caruman yang dikenakan adalah 0.4 peratus yang merangkumi 0.2 peratus caruman majikan manakala 0.2 peratus lagi melibatkan pekerja.

"Kerajaan tidak berniat untuk meningkatkan kos kepada majikan tetapi berusaha untuk menguntungkan majikan dengan peningkatan produktiviti pekerja serta anjal dengan perubahan teknologi semasa.

"Ia dirangka bagi mengurangkan tekanan serta masalah kesihatan akibat kehilangan pekerjaan," katanya semasa membentangkan RUU SIP di Dewan Rakyat.

Jelasnya lagi, sistem baharu ini juga mampu menyelesaikan masalah konflik keluarga yang semakin meningkat kini.

Turut diperuntukkan dalam RUU itu ialah garis panduan membantu penempatan semula individu yang kehilangan kerja serta faedah kepada waris bagi pekerja yang meninggal dunia atau hilang upaya kekal.

SIP dijangka memberi manfaat kepada mereka yang diberhentikan kerja selama enam bulan dengan bayaran purata setengah bulan gaji.

Skim itu bagaimanapun tidak membabitkan mereka yang berhenti secara sukarela bagi maksud peletakan jawatan di bawah skim pemisahan sukarela dengan persetujuan bersama majikan dan pekerja terbabit.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan mengenai persetujuan kerajaan melaksanakan SIP yang membabitkan kira-kira 6.5 juta pekerja tempatan dalam sektor swasta.

SIP dijangka mula dilaksanakan 1 Januari 2018.