Ada pihak tertentu cuba memburuk-burukkan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dicadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menakutkan masyarakat demi agenda politik mereka, kata pakar-pakar undang-undang.

Mereka memanipulasikan perkara ini sedangkan cadangan itu hanya bertujuan memberi kuasa lebih luas kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman lebih berat kepada kesalahan-kesalahan sedia ada dalam akta berkenaan, yang telah wujud sejak tahun 1965.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Datuk Prof Mahamad Naser Disa berkata pihak berkenaan sengaja menjadikan usul cadangan meminda akta itu yang kini lebih dikenali sebagai RUU355 itu, untuk mengelirukan masyarakat walhal ia tidak seburuk yang disangkakan.

"Ada orang politik yang berfahaman sekular sengaja buat-buat tidak faham akan RUU355 ini dan kemudiannya cuba mengelirukan masyarakat. Saya percaya mereka ini ada agenda peribadi.

"Malah, mereka sengaja bandingkan keadaan di Malaysia dan Turki dalam hal berkaitan mahkamah syariah ini. Kita di Malaysia cuma ada Islam, tiada fahaman sekular seperti Turki. Jadi mereka sengaja buat agenda dan mengambil kesempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel taklimat khas media penerangan usul pindaan Akta 355 di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.

Abdul Hadi mencadangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355 di Dewan Rakyat pada 24 Nov lepas.

Mahamad Naser berkata dalam aspek penerimaan parti politik di negara ini, pihak pembangkang dilihat masih berdolak-dalik dan cuba menolak pindaan itu manakala pihak BN dijangka mencapai kata putus tidak lama lagi.

"Secara peribadi, saya percaya, pindaan ini akan berjaya. Keputusan dijangka akan dibuat kerajaan pada Mac ini," katanya.

Mengulas lanjut pelaksanaan akta itu apabila ia dipinda, Mahamad Naser berkata hukuman bagi kesalahan yang berkaitan akan ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ia bukan dibuat sewenangnya-wenangnya.

"Hadi boleh mencadangkan apa sahaja hukuman mahkamah syariah yang perlu dinaikkan. Tetapi ia tidak boleh dibuat sesuka hati. DUN akan pinda dan tentukan hukuman. Contohnya, hukuman penjara, denda bagi kes khalwat, buang bayi, minum arak dinaikkan dan menjadi lebih berat," katanya.

Mahamad Naser menegaskan bahawa orang bukan Islam tidak tertakluk kepada undang-undang ini kerana mereka diadili dalam mahkamah sivil.

Sementara itu, felo kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Profesor Mayda Dr Shamrahayu A. Aziz yang turut menjadi ahli panel dalam program itu, berkata isu yang timbul mengenai pindaan rang undang-undang itu ialah sama ada hukuman sedia ada dalam sistem jenayah Syariah berkesan untuk menjadikan undang-undang itu sebagai altenatif dalam menjaga maqasid al-Syariah (prinsip-prinsip Islam).

Katanya ada banyak pihak berpendapat hukuman yang ringan di Mahkamah Syariah ketika ini tidak dapat memberikan kesan pencegahan kepada perlakuan jenayah yang berleluasa.

"Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa hukuman yang terhad ini dianggap merendahkan Islam, hukumannya terlalu ringan dan amat jauh daripada hukuman sebenar yang ditetapkan Islam," katanya.

Beliau mengambil contoh, bagi kesalahan seperti zina dan minum arak, hukuman yang dikenakan kepada pesalah pada masa ini hanyalah denda RM5,000 atau penjara tiga tahun dan enam kali sebatan.

Hukuman itu, katanya, jauh lebih ringan berbanding undang-undang Islam iaitu rejam hingga mati atau 100 kali sebatan bagi kesalahan zina dan 40 atau 80 sebatan bagi kesalahan meminum minuman keras.

Katanya objektif hukuman Islam iaitu untuk pencegahan jenayah, tidak boleh dihargai jika kuasa menghukum yang diberikan kepada Mahkamah Syariah tidak memenuhi kualiti dan kuantiti yang diperlukan.

-- BERNAMA