Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal senada dalam perjuangan untuk mendapatkan semula hak dan kuasanya seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perkara itu dinyatakan oleh kedua-dua pemimpin dalam sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan di Pejabat Ketua Menteri Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah beberapa anggota Kabinet negeri Sabah dan Sarawak termasuk Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah, Tan Sri Dr James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

"Kepentingan kita (Sabah dan Sarawak) adalah sama apabila kita menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu dan sudah tentu senada mahu supaya hak dan kuasa kita dikembalikan," kata Mohd Shafie.

Beliau berkata sudah tiba masanya kedua-dua negeri bersepakat untuk membolehkan suara dan aspirasi rakyat kedua-dua negeri didengari dan menurutnya apa yang cuba diperjuangkan adalah untuk kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak dan negara keseluruhan.

"Saya rasakan sudah sampai masanya untuk (kerajaan pusat) menyedari bahawa adanya tuntutan dari Sabah dan Sarawak, tidak bermakna kita tidak sayangkan Malaysia, kita sayangkan Malaysia tetapi harus juga disedari bahawa setiap yang sudah dipersetujui harus ditunaikan," tegas beliau.

Menurut Mohd Shafie, kerajaan pusat juga perlu menyedari bahawa perubahan perlu dibuat terhadap tuntutan royalti minyak dengan mempertimbangkan tuntutan 20 peratus yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak.

"Kita bukan meminta 100 peratus, kita hanya minta 20 peratus kerana harus diingatkan bahawa 50 peratus keluaran minyak di negara ini adalah dari Sabah," katanya.

Berhubung pertemuan hari ini, Abang Johari berkata ia bagi mengukuhkan kerjasama antara Sabah dan Sarawak dalam pelbagai bidang memandangkan kedua-dua negeri mempunyai banyak persamaan.

Beliau berkata Sarawak bersedia untuk bekerjasama dengan Sabah dalam projek automobil yang sedang dalam perancangan kerajaan negeri Sabah di Taman Industri Kota Kinabalu (KKIP).

Mohd Shafie pula berkata Sabah boleh belajar daripada Sarawak yang memiliki pengalaman yang lebih luas dalam sektor perindustrian, di samping Sabah boleh membeli tenaga elektrik daripada Sarawak yang memiliki bekalan tenaga elektrik berlebihan dan harganya yang lebih murah.

Dalam sektor pelancongan, beliau berkata Sabah boleh membantu membawa pelancong asing, khususnya dari China untuk melawat Sarawak memandang ramai pelancong dari negara itu mengunjungi Sabah.

Semua cadangan kerjasama itu akan dibincang secara terperinci, menurut kedua-dua pemimpin.

-- BERNAMA