Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa Negeri Di Bawah Bayu itu kekal dalam Malaysia dan meminta agar perkara itu tidak dipertikaikan lagi.

Beliau berkata masih ada pihak yang menuntut dan mengatakan bahawa Sabah adalah milik individu tertentu.

“Sabah ini milik orang Sabah dan di bawah negara Malaysia. Jangan ada yang mempersoalkan dan mempertikaikannya lagi.

“Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga sudah nyatakan hal ini. Pungutan suara orang Sabah juga pada dahulu sudah diambil seterusnya setuju untuk membentuk Malaysia.”

Beliau kata demikian ketika berucap sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 di Padang Bandaran Sandakan, pada Rabu.

Beliau dipercayai mengulas berhubung video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki yang tidak diketahui identitinya mendakwa dirinya pemilik sebenar Sabah.

Dalam pada itu, beliau meminta ahli perniagan di Sandakan yang berkemampuan besar untuk melabur dan membangunkan Sandakan.

“Kita tahu ramai tauke berkemampuan di Sandakan ini. Jadi kita harap mereka dapat bersama-sama membangunkan Sandakan,” katanya.