Sabah komited untuk melonjakkan lagi pembangunan dan ekonomi negeri dengan menumpukan kepada usaha mengukuhkan kedudukan kewangan menerusi perancangan dan pengurusan yang efisien.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha itu juga didorong oleh perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan yang dilihat mampu mencetuskan perkembangan ekonomi yang hebat di Borneo.

"Justeru, kita perlu melakukan yang terbaik bagi merebut peluang keemasan ini, supaya ia tidak terlepas daripada tangan kita. Kerajaan sentiasa komited untuk membangun dan menyediakan sumber manusia yang berilmu, berkemahiran tinggi serta inovatif.

"Jika segala perancangan berjalan dengan lancar, Sabah bukan sahaja akan menjadi antara negeri yang pesat membangun, malah akan memberi manfaat yang besar kepada seluruh rakyat di negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis Jamuan Negeri sempena sambutan Hari Jadi Rasmi ke-66 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di sini, pada Sabtu.

Mohd Shafie berkata bagi mencapai matlamat itu segala program dan projek yang dilaksanakan perlu dipantau dan dipastikan keberkesanan agar kejayaannya dapat dimanfaatkan oleh rakyat di peringkat akar umbi selain mengelakkan segala ketirisan.

Beliau turut menyeru kepada semua jabatan dan agensi pelaksana supaya sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan serta memantapkan kecekapan jentera pentadbiran dan pelaksanaan di semua peringkat.

"Semua ini sentiasa menjadi fokus dan agenda kerajaan Sabah. Kita sentiasa mengamalkan semangat kerjasama, permuafakatan dan semangat kerja berpasukan daripada semua pihak termasuklah dalam kalangan pemimpin, anggota perkhidmatan awam, sektor swasta dan rakyat pada keseluruhannya," katanya.

-- BERNAMA