KOTA KINABALU:Kerajaan negeri Sabah meluluskan penambahan peruntukan Bantuan Prihatin COVID-19 berjumlah RM160 juta.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat mingguan Kabinet kerajaan negeri hari ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Sabah sebagai langkah utama memulihkan semula ekonomi negeri itu yang terjejas akibat COVID-19.

"Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan penambahan dana Bantuan Prihatin COVID-19 sebanyak RM160 juta dan ia adalah tambahan kepada RM50 juta yang telah diumumkan sebelum ini.

Kemas kini kes COVID-19 di Malaysia setakat 28 Oktober 2020.⁠

"Selain itu, dengan tertubuhnya Majlis Ekonomi Sabah, saya yakin ia akan dapat membincangkan lebih lanjut pemulihan ekonomi Sabah.

"Keahlian majlis ini akan diumumkan kelak tapi apa yang pasti ia akan turut disertai pemain industri, ahli-ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, dana Bantuan Prihatin COVID-19 terbabit akan dikeluarkan melalui beberapa kementerian dan dijangka dapat dimanfaatkan beberapa sektor dan pihak terjejas seperti pertanian, pelancongan, penjaja, anak yatim dan ibu tunggal.

Tambahnya daripada jumlah tersebut RM1 juta akan disalurkan kepada universiti-universiti tempatan bagi membantu penuntut yang terkesan dengan situasi semasa penularan COVID-19.