Kerajaan negeri Sabah akan mengkaji dan meneliti kaedah terbaik untuk menggubal peraturan larangan lompat parti.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, penggubalan peraturan itu dilihat penting dalam memastikan tiada wakil rakyat bertindak demikian pada masa depan.

"Mereka (pemimpin) bukan mahu menentukan kepentingan rakyat (tetapi) menentukan kepentingan diri mereka (dengan melompat parti).

"Justeru kerajaan negeri pimpinan Warisan akan meneliti pandang dan cadangan sebelum dapat menggubal peraturan larangan lompat parti," katanya dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Geran Tanah di sini pada Selasa.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, Perkara 10(1)(c) dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan, perlu dipinda jika undang-undang berkaitan lompat parti mahu digubal.

Takiyuddin berkata, berkata Perkara 10(1)(c) jelas menyatakan kebebasan individu untuk berpersatuan.