RANCAKKAN industri hiliran - itu saranan tegas penganalisis politik, Dr Firdausi Suffian sebagai usaha menangani isu yang sekian lama menghantui Sabah, iaitu menambah peluang pekerjaan, dan mengurangkan kadar kemiskinan.

Beliau yang merupakan Timbalan Rektor Universiti malaysia Sabah (UMS) berkata, agak ironi untuk memikirkan Sabah merupakan penyumbang kelima terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sekitar 5 hingga 5.5 peratus setahun.

Tetapi, data menunjukkan sebaliknya apabila negeri itu mencatatkan kadar pengangguran kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan Labuan, serta pertumbuhan gaji bulanan antara yang terendah di negara ini.

"Kalau kita lihat pertumbuhan gaji amat rendah. Kalau 2018, 2017 sekiranya kita lihat kenaikan gaji itu hanya di antara RM90 – ini secara umum, secara purata RM90. Kalau tolak inflasi, dia mungkin RM50. Kalau tolak inflasi RM50, setiap bulan bermaksud pertumbuhan gaji hanya RM4. Ini tidak selari dengan inflasi ataupun kos sara hidup yang ada di Sabah ini.

“Isu seterusnya, industri hiliran itu ataupun downstream itu amat terhad. Banyak barang yang terpaksa kita import. Dan apabila barang diimport, itu yang menyebabkan kos sara hidup tinggi sebab kita kena beli daripada luar. Ini adalah isu utama di Sabah ini sebenarnya,” katanya lagi.

BACA: Mengapa Sabah kaya, tetapi rakyatnya termiskin? Ini penjelasan yang mudah untuk difahami

Berdasarkan data daripada laporan sosioekonomi negeri itu, Sabah juga mencatatkan kadar pengangguran kedua paling tinggi berbanding negeri dan wilayah lain iaitu pada kadar 5.8 peratus, di bawah Wilayah Persekutuan Labuan (6.9 peratus).

Bagi kategori pendapatan bulanan median pula, Sabah tersenarai dalam kelompok rendah iaitu sebanyak RM1,951 sebulan, berbanding kadar nasional iaitu RM2,308 sebulan.

Mengulas lanjut, Firdausi berkata, kadar pengangguran yang tinggi merupakan antara punca mengapa majoriti pendapatan rakyat Sabah berada di bawah paras garis kemiskinan negara.

Atas sebab itu, tegasnya lagi, Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu merancakkan industri hiliran bagi meningkatkan peluang pekerjaan sehingga ke taraf semi profesional dan profesional, seterusnya merancakkan ekonomi domestik Sabah.

"Isu hiliran ini amat berkait rapat dengan dasar yang ada di mana sebelum ini kalau kita lihat, dasar hiliran ini amat berkait rapat dengan industrialisasi.

“Yang utama dalam pembangunan ekonomi untuk mewujudkan kepelbagaian, aktiviti ekonomi. Jadi apabila ada kepelbagaian, peluang pekerjaan pun meningkat,” katanya lagi.