Kaum Murut di Sabah pada Sabtu diberi jaminan bahawa mereka tidak akan tercicir dalam arus pembangunan, malah rancangan pembangunan untuk kaum itu sudahpun dimasukkan dalam pelan perancangan pembangunan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang memberikan jaminan itu berkata beliau sentiasa memberi keutamaan kepada usaha membangunkan kaum berkenaan.

Dengan merujuk kepada kawasan Kemabong yang terletak di dalam daerah Tenom, beliau turut memberi jaminan bahawa tanah-tanah di kawasan itu hanya boleh dipohon dan dimiliki oleh penduduk suku kaum Murut di daerah berkenaan.

"Saya tidak ingin melihat tanah-tanah di sini (Kemabong) dimiliki oleh orang lain selain kaum Murut. Kita tidak mahu bila mana kekayaan ada di sini (Kemabong), malangnya ia dimiliki oleh orang bukan dari kaum Murut," katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Ramah Mesra Ilau Rakyat Kemabong 2019 di sini, yang dihadiri lebih 10,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat di daerah berkenaan.

Hadir sama Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Jamawi Jaafar, Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah Fredian Gan serta pemimpin-pemimpin setempat.

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut mengumumkan kelulusan tapak tanah untuk pembinaan bangunan balai Bomba dan balai Polis di Daerah Kecil Kemabong.

"Tapak tanah seluas 0.6 hektar adalah untuk tapak bangunan balai bomba, manakala 1.7 hektar lagi untuk pembangunan sebuah Balai Polis.

"Kewujudan dua agensi ini di sini adalah penting kerana ia seiring dengan pembangunan pekan Kemabong yang semakin pesat.

"Balai Bomba adalah penting bagi mengawal insiden kebakaran yang tidak diduga kerana jarak pekan ini ke pekan Tenom agak jauh," katanya.

Tedahulu Mohd Shafie turut menyempurnakan upacara pecah tanah tapak pembinaan 41 unit rumah kedai Lembaga Pembangunan Perumahan Dan Bandar (LPPB) fasa 1 pekan Kemabong dan 12 Kiosk Awam LPPB.

Selain itu, beliau turut menyerahkan geran individu berstatus anak negeri (NT) kepada 142 individu bagi kawasan Kemabong dan Melalap dan menerima menerima borang keahlian Parti Warisan Sabah (Warisan) seramai 4,420 orang dari 69 Cawangan di kawasan DUN Kemabong.

-- BERNAMA