Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah merekodkan sebanyak 1,706 kebakaran terbuka sepanjang Januari hingga Mac.

Menurut kenyataan jabatan itu pada Rabu, kes kebakaran terbuka pada Mac mencatat rekod tertinggi iaitu sebanyak 979 kes, diikuti Februari (537 kes) dan Januari (190 kes).

Tuaran adalah antara tujuh daerah di Sabah merekodkan kes kebakaran terbuka paling tinggi sepanjang tiga bulan berkenaan iaitu sebanyak 265 kes, diikuti Kota Kinabalu (258 kes), Keningau (156), Kota Belud (139), Penampang (129), Papar (122) dan Kimanis (84).

Menurut jabatan itu, kes kebakaran terbuka di kawasan belukar mencatat rekod tertinggi iaitu sebanyak 954 kes, diikuti kebakaran hutan (528 kes), tapak pelupusan sampah haram (80), kebun kecil (61), ladang (23), sawah padi (13) dan dua kes kebakaran di tapak pelupusan majlis daerah.

Pegawai dan anggota bomba Sabah juga giat menjalankan operasi memadam kebakaran terbuka yang berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.

Sementara itu, kebakaran terbuka turut menjejaskan kualiti udara di tiga daerah di negeri ini apabila mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 5 petang semalam, Kimanis merekodkan kadar bacaan IPU tertinggi iaitu 85, diikuti Kota Kinabalu (68) dan Keningau (58).

Labuan turut mencatat bacaan IPU sederhana iaitu 53.

Kadar bacaan IPU di Tawau dan Sandakan pula pada kategori baik iaitu masing-masing 38 dan 43.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai yang ingin mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam boleh merujuk laman web http://apims.doe.gov.my .

-- BERNAMA