Kerajaan negeri Sabah akan terus melipatgandakan usaha bagi memacu pencapaian dan kecemerlangan pembangunan modal insan yang menjadi antara fokus utama dalam Halatuju Negeri.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata program itu juga menjadi wadah memperkasa pembangunan modal insan dengan meningkatkan penelitian ilmiah serta penataran hasil penyelidikan bahasa dan kemahiran berfikir yang membentuk tamadun tinggi.

"Permuafakatan menerusi seminar ini sudah tentu akan menzahirkan semangat kerjasama yang mantap dari segi perkongsian idea, teori dan model dalam bidang psikolinguistik seterusnya diterjemahkan untuk kita mengintensifkan usaha membentuk masyarakat maju dan berintegrasi.

"Kerajaan negeri berpendapat bahawa ia (seminar) amat relevan dan signifikan kepada rakyat Malaysia khususnya di Sabah yang sememangnya sinonim dengan keharmonian serta perpaduan rakyatnya yang berbilang suku kaum, etnik, agama dan budaya.

"Bahasa memainkan peranan paling asas dan memerlukan mekanisme mantap bagi menjayakan pembentukan sebuah negara bangsa cemerlang," katanya dalam ucapan perasmian Seminar Antarabangsa Psikolinguistik Keempat di sini, pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun.

Seminar dua hari itu dianjurkan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Persatuan Psikolinguistik Malaysia serta Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Ia menjadi platform kepada pendidik, penyelidik dan masyarakat untuk menggembleng tenaga serta idea dalam usaha memajukan negara melalui ilmu dalam bidang psikolinguistik.

Kira-kira 250 peserta menghadiri seminar bertemakan 'Kepelbagaian Bahasa dan Pemikiran dalam Masyarakat'dengan menampilkan seramai 151 pembentang termasuk dari Indonesia dan Uzbekistan.

Musa percaya semintar itu tidak hanya menyumbang kepada perkembangan ilmu menggunakan pendekatan psikologi dan linguistik, bahkan berupaya memartabatkan bahasa sebagai wadah terbaik bagi mengintegrasikan perbezaan serta kepelbagaian demi memantapkan lagi kesatuan dan keharmonian kaum.

"Kita harus berusaha memantapkan ilmu yang dapat memperkukuh kemajuan masyarakat dalam pelbagai bidang agar kita mampu berdaya saing dan mencapai taraf negara maju menjelang 2050," katanya.

-- BERNAMA