Kerajaan Sabah memutuskan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, susulan keputusan itu, Sabah mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap 4 yang akan berakhir pada 12 Mei ini.

"Pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik COVID-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus itu.

“Oleh itu, saya menyeru rakyat untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap 4 yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Dalam perutusan sempena Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKPB dengan sebahagian besar sektor ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 Mei.