Kerajaan Negeri Sabah pada Khamis mengisytiharkan tarikh 9 Mei depan sebagai hari kelepasan am tambahan di negeri ini sempena hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Sukarti Wakiman dalam satu kenyataan berkata, tarikh cuti ini adalah bagi memudahkan urusan rakyat di negeri ini melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Beliau keputusan berkenaan adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan sempena hari PRU14.

Menurut beliau, pelaksanaan cuti ini akan membolehkan rakyat Malaysia, khususnya yang berada di negeri ini, untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengisytiharan cuti umum itu dibuat berdasarkan Seksyen 9 Ordinan Hari Kelepasan (Holidays Ordinance) Negeri Sabah (Bab 56).