Malaysia kini menjadi sasaran sabotaj ekonomi yang bertujuan untuk menyerang negara ini serta menjejaskan kredibiliti kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata, bagi memastikan sabotaj ekonomi itu berjaya, perunding media Barat digunakan untuk memutarbelitkan cerita mengenai dakwaan rasuah dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ekonomi Malaysia di ambang muflis.

"Ini bukan sahaja berniat jahat tetapi juga perbuatan khianat. Sabotaj ekonomi, terutamanya yang dirancang dan dibiayai oleh rakyat Malaysia, sememangnya suatu perbuatan khianat," katanya dalam catatan di blog beliau, sskeruak.blogspot.com hari ini.

Beliau berkata pengkhianat ini perlu didedahkan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka.

"Bagi mengukuhkan lagi dakwaan ini, malahan terdapat usaha untuk menyerang ringgit bagi 'membuktikan' bahawa dunia benar-benar telah hilang keyakinan terhadap Malaysia.

"Gambaran yang diberikan ialah ringgit yang rendah bermakna Malaysia menuju ke arah 'kemusnahan'. Malah, mereka mengatakan Malaysia antara negara yang dianggap sebagai 'negara yang gagal'," kata Salleh.

Beliau berkata sabotaj ekonomi digunakan kerana, ia merupakan senjata paling berkuasa untuk meruntuhkan sesebuah negara, malah ada ketikanya, lebih berkesan, berbanding tindakan ketenteraan.

Sambil memetik laporan terkini dari Thailand berhubung insiden letupan bom di Bangkok semalam, beliau mendakwa, ia bertujuan untuk mensabotaj ekonomi negara itu.

"Malaysia turut menerima sabotaj ekonomi yang sama, walaupun bukan dengan cara seperti yang mereka lakukan di Thailand," kata Salleh.

Beliau turut menekankan bahawa negara tidak boleh dibiarkan menanggung keadaan ini semata-mata untuk memenuhi cita-cita politik mereka yang ingin menggulingkan kerajaan dan merebut kuasa melalui cara yang tidak mengikut perlembagaan.